Sabtu, 13 Juni 2009

Berkorban demi sesuap nasi

MENYELAM antara 40 hingga 57 meter di laut dengan hanya menggunakan tiub getah yang membekalkan oksigen daripada alat pemampat udara atau kompresor pendingin hawa kereta untuk mencari udang galah, ikan dan siput mungkin agak asing bagi kebanyakan nelayan di negara ini, khususnya di Semenanjung.

Putaran enjin 13 kuasa kuda yang disambungkan pada kompresor pendingin hawa kereta menghasilkan oksigen yang dimampatkan sebelum disalurkan ke balang gas berukuran kira-kira satu meter yang kemudiannya disalurkan ke tiub sepanjang antara 40 hingga 50 meter. Penyelam ikan atau tuhun daing dalam bahasa Ubian (satu daripada 33 etnik di Sabah) adalah nelayan tradisional di Pulau Mantani, dekat Kota Belud, Sabah. Pekerjaan itulah yang menampung kehidupan keluarga mereka.

Dengan mengikat tiub getah pada pinggang dan menggigit hujung tiub itu, penyelam akan menyedut oksigen daripada tiub dan menyelam antara 40 hingga 50 meter untuk menangkap udang galah atau menembak ikan bersaiz besar antara dua hingga 20 kilogram (kg), selain menjadikan siput kima sebagai hasil laut untuk keluarga.

Tuhun daing yang berseluar pendek dan baju T, hanya memakai google dan kaki itik yang diperbuat daripada plastik keras (tong ikan yang dipotong dalam bentuk kaki itik) yang dipakukan pada getah tiub motosikal (untuk disarungkan pada kaki).

Mereka akan mengikat tiub getah ke pinggang beberapa kali bagi memudahkan ditarik oleh rakan yang berada dalam perahu jika berlaku sesuatu tidak diingini. Dengan menggigit hujung tiub, tuhun daing menghela nafas ketika menyelam di dasar laut.

Berbekalkan senapang menembak ikan berpeluru sebatang besi tahan karat sepanjang kira-kira satu meter yang hujungnya berbentuk anak panah, tuhun daing juga membawa jaring kecil berbentuk bakul diikat pada pinggang masing-masing, dijadikan tempat menyimpan ikan yang ditembak.

Tuhun daing cekap mengesan ikan di dasar laut. Jenahak, merah, gerepoh, kerapu, senangin, tetambak, ketak lantai dan pelbagai jenis ikan bersisik yang lain sering menjadi buruan mereka kerana harganya lebih tinggi.

Dengan berenang di celah batu karang, tuhun daing bijak bersembunyi sebelum menunggu jenahak atau merah atau ikan yang lain keluar dari `rumah' mereka. Sebaik saja ikan jelas kelihatan, tuhun daing melepaskan tembakan yang ditujukan ke kepala ikan.

Lazimnya, tuhun daing menembak ikan bersaiz besar antara tiga hingga 20 kilogram (kg) dan kadangkala mencecah 30 kg.

Jika ikan yang ditembak terlalu besar, tuhun daing harus bersedia mengejar ikan sebaik saja tembakan dilepaskan. Tujuannya untuk menangkap peluru senapang sebelum dilarikan ikan. Dengan memegang kemas peluru berkenaan, ikan tidak mampu melarikan diri terlalu jauh hingga sukar dikesan.

Lazimnya, tuhun daing mampu bertahan kira-kira sejam di dasar laut. Setiap satu jam, mereka akan menarik tiub getah berkenaan sebagai isyarat rakan di dalam perahu menariknya ke dalam perahu.

Selepas naik dalam perahu, tuhun daing perlu melepaskan lelah dan tugas berkenaan disambung rakan lain. Setiap kali rakan yang sudah menyelam naik ke dalam perahu, tuhun daing yang lain pula mengambil alih.

Bukan saja ikan, udang galah juga banyak bersembunyi dalam batu karang. Tuhun daing akan berusaha menarik belalai udang galah hingga ia keluar daripada persembunyiannya.

Begitu juga dengan siput kima. Selain isinya yang lazat bak ayam, cengkerang siput kima juga boleh dijadikan bahan mendapatkan wang bagi menyara anak isteri.

Tuhun daing bukanlah penyelam “kosong” tanpa ditemani sedikit sebanyak ilmu yang diwarisi turun-temurun untuk memanggil ikan. Mereka juga melengkapkan diri dengan ilmu mengunci mulut ikan berbahaya seperti yu jerung dan kertang (kerapu yang melebihi 50 kg).

Namun, bagi tuhun daing, bacaan ayat tertentu dalam bahasa Ubian dan Pala'u (Bajau Laut) tidak mampu mengatasi hak dan ketentuan Allah.

Setiap kali berada jauh di dasar laut, hanya kepada Allah tempat mereka menyerahkan ketentuan nasib supaya dimurahkan rezeki dan dijauhkan daripada malang yang tidak tahu bila bakal menjelma.

Tidak ada komentar: