Sabtu, 13 Juni 2009

Kerinduan 35 tahun ibu, anak terlerai

Selepas 35 tahun terpisah, kegembiraan terukir di wajah seorang ibu, Waning Jusoh, 66, apabila dipertemukan semula dengan anaknya, Dewi Yani Salleh, 35, yang diserahkan kepada keluarga angkat ketika berusia tiga bulan.

Suasana hiba dan pilu menyelubungi Terminal Bas Makmur di sini, awal pagi semalam, apabila anak-beranak itu bertemu buat kali pertama.

Kegembiraan tidak dapat digambarkan apabila mereka berpelukan sambil mengalirkan air mata gembira bagi melepaskan rasa rindu biarpun terasa janggal menatap raut wajah masing-masing.
Pertemuan mereka menjadi kenyataan selepas Berita Harian melalui ruangan Titian Kasih menyiarkan rintihan dan kesedihan Waning terpisah dengan anak keenamnya daripada lapan beradik dan kerinduan untuk bertemu semula dibacakan keluarga angkat Dewi Yani.

Waning berkata, beliau tidak menyangka harapan dan impian serta doa untuk bertemu anak kandungnya menjadi kenyataan kerana sebelum ini hanya mampu melepas rindu dengan menatap gambar dikirim keluarga angkat ketika Dewi Yani berusia dua tahun.

"Terima kasih kepada Berita Harian kerana mempertemukan kami. Saya diberitahu laporan akhbar itu mendapat perhatian keluarga angkat Dewi, yang kemudian memaklumkan kepadanya, yang berada di Johor Bahru.

"Saya terlalu gembira... tak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Harapan saya selagi hayat masih ada untuk bertemu dengan Dewi akhirnya dimakbulkan tuhan.

"Hati saya tidak tenteram dan sukar melelapkan mata selepas dihubungi Dewi buat kali pertama, kira-kira dua minggu lalu. Sejak itu saya tidak sabar untuk bertemu dan menatap wajahnya," katanya ketika ditemui di rumahnya, Kampung Kurnia di sini.

Waning menyerahkan Dewi kepada keluarga angkat dari Temerloh, juga kenalannya yang kebetulan tidak mempunyai cahaya mata.

Menceritakan detik bagaimana beliau mengetahui ibu kandung mencarinya, Dewi berkata, beliau dimaklumkan ibu angkatnya, Saleha Mohd Salleh, 58, yang tinggal di Batu Pahat, selepas seorang jirannya memaklumkan mengenai berita disiarkan.

"Ibu angkat kemudian menghubungi saya dan meminta membeli akhbar Berita Harian. Sebaik menyelak ruangan Titian Kasih, saya menatap wajah seorang wanita tua memegang foto kanak-kanak... saya juga memiliki foto sama.

"Saya lantas menghubungi nombor telefon yang tertera. Rasa sedikit gementar apabila kali pertama berbual dengan ibu," katanya.

Beliau yang bekerja sebagai chef di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru, berkata sebelum ini, beliau pernah berusaha mencari keluarga asalnya namun kekangan kerja membataskan usahanya.

"Saya kagum dengan semangat dan usaha ibu yang tidak jemu-jemu berikhtiar untuk bertemu semula dengan saya. Saya bersyukur pertemuan kami menjadi kenyataan," katanya.
Dewi kini bercuti seminggu untuk bersama ibu dan berkenalan lanjut dengan adik-beradik lain.

Tidak ada komentar: